Wednesday 17 April 2013

Akronim CH, Land Rover Dan Cameron Highlands


Land Rover dan Cameron Highlands tidak dapat dipisahkan. Diangarkan terdapat hampir 10,000 buah pacuan empat roda di Cameron Highlands menjadikan ia daerah dengan berkepadatan kenderaan Land Rover tertinggi di dunia.
Kebanyakan Land Rover yang dijadikan kenderaan utama pengusaha ladang-ladang sayur di Cameron Highlands dibeli melalui pembelian secara lelong yang telah dilupuskan perkhidmatannya dari pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau dari agensi-agensi kerajaan dengan harga antara RM5,000 ke RM7,000 bergantung kepada kondisi kenderaan itu yang kebanyakaan telah rosak di bahagian enjin dan kotak gear.

Jika dahulunya berkhidmat membawa askar ke medan perang, kini dengan nyawa kedua yang diberikan, kenderaan sekukuh kereta kebal kini berkhidmat di bumi subur dan dingin Cameron Highlands dengan gelaran King of Mountain berulang-alik antara pekan Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja mengangkut pekerja, peralatan ladang, membawa baja, dan membawa keluar hasil ladang.

Apa yang menariknya jika diamati kebanyakan Land Rover ini ditanda dengan huruf CH di pintu kiri dan kanannya. Semua Land Rover atau kenderaan dengan akronim CH yang bermaksud Cameron Highlands tidak dibenarkan dipandu di luar daerah Cameron Highlands. Sebagai pulangan, mereka hanya perlu membayar cukai jalan 10% daripada jumlah sebenar yang perlu dibayar. Bagi kenderaan pacuan empat roda dengan kapasiti 2500cc cukai jalan yang dikenakan adalah sekitar RM900 dan dengan keistimewan ini mereka hanya perlu membayar RM90 setahun sahaja.
Namum di waktu yang sama daerah Cameron Highlands juga mula digelar sebagai Land Rover Graveyard. Akibat dari kos barang gantian yang tinggi, kebanyakkan pengusaha ladang sayur kini bertukar ke kenderaan pacuan empat roda buatan Jepun seperti Toyata Hilux menyebabkan Land Rover ini terbiar di tepian jalan menunggu masa untuk dijual sebagai besi buruk.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...